About

Instagram

Wednesday, February 1, 2012

surat yang tak pernah dikirim..



Kehadapan awak,


Saya menulis di sini kerana saya adalah lelaki yang tak mampu untuk berhadapan dengan awak. Saya menulis kerana saya ialah lelaki yang kehilangan suara jika berhadapan dengan awak. Saya menulis kerana saya tidak mampu untuk mengucapkan ‘saya cintakan awak’ tanpa saya akan gagap dan pengsan sesudah itu.

Kerana ucapan ‘aku cinta padamu’ atau ‘saya cintakan awak’ itu ialah ucapan yang berat dan penuh mendalam. Dan ucapan itu ialah ucapan yang hanya wujud pengucapannya dalam dunia drama atau novel sahaja. Kerana bahasa tulisan dan bahasa pengucapan sebenar-benarnya adalah bahasa yang berbeza.

Juga saya menulis kerana untuk menceritakan apa yang saya rasa kepada awak tanpa mampu untuk menatap mata awak adalah mustahil. Dan tanpa memandang ke wajah serta mata awak, mungkin awak tak akan mempercayai segala apa yang saya perkatakan.

Saya cintakan awak. Sungguh saya mahu menemani dan ditemani awak. Dan sungguh saya mahu menjadi lelaki yang membahagiakan awak.

Awak pasti tertanya. Sejak bila. Kenapa. Mengapa. Bagaimana. Dan saya sedia maklum disebalik cinta itu punya beribu soalan yang mengiringinya. Tapi satu yang saya pasti iaitu tak pernah ada sebab disebalik sesuatu cinta. Kerana cinta itu walau beribu ahli falsafah dan beratus penyair cuba memberi makna yang setepatnya, akan tumpullah falsafah dan cacatla h syair mereka. Kerana cinta itu datang dengan ketentuan bukan pilihan atau permintaan.

Sejak bila ya. Saya pun tak pasti apa jawapannya. Tapi satu perkara yang saya pasti iaitu kita tidak pernah terlalu awak atau terlalu lewat untuk jatuh cinta. Cinta itu boleh saja muncul tanpa kita sedari kerana Tuhan yang bertanggungjawab mencampak rasa itu kedalam hati kita.

Kenapa, bagaimana dan mengapa, saya kira tak perlu saya jawab kerana jika ada jawapan pastinya jawapan itu akan ada unsur ketidakjujuran dan tokok tambah. Kerana manusia, sifatnya inginkan pujian dan kata-kata manis. Lalu manusia yang mengagumi manusia lain akan sedaya upaya menuturkan kata-kata indah agar dapat menawan manusia yang dikaguminya. Saya tak mahu begitu. maka biarlah cinta saya kepada awak tidak bersebab.

Saya dapat tahu bahawa awak telah dimiliki. Saya tersenyum saja mendengar khabar itu. Awak, kita tak layak memilki sesiapa kerana kita hanyalah hamba. Dan kita semua adalah milik-Nya. Tapi sungguhpun awak dimiliki, saya tetap akan menunggu awak. Sampai awak bernikah dan bersanding di atas pelamin. Sesudah saya pasti semua itu, barulah saya akan buka hati saya untuk orang lain. Ramai yang kata saya bodoh. Tapi saya rasa mereka semua pengecut. Kerana bagi saya keberanian itu ialah melakukan sesuatu yang pengecut akan kata bodoh. Macam yang sedang saya lakukan. Saya tahu jodoh pertemuan ditentukan Tuhan. Tapi selagi Tuhan belum menemukan saya dengan jodoh itu, saya akan terus berdoa dan mengharap awaklah jodoh yang dikirim Tuhan untuk saya.

Saya tak layak memiliki awak. Cuma kalau diberi peluang, saya akan menemani awak. Sampai akhir hayat. Bersama mencari redha-Nya. Beriringan ke syurga. InsyaAllah.

Mengapa saya sanggup berkorban? Menutup hati untuk orang lain kerana awak? Kerana bagi saya, hadiah yang terbaik untuk diberikan kepada orang yang tersayang adalah pengorbanan. Dan bercakap tentang pengorbanan, awak mahu dengar cerita? Ada cerita berkenaan seorang sufi. Begini, suatu hari, ada seorang perempuan terkentut dengan kuat dihadapan seorang lelaki. Perempuan itu menjadi malu atas ketidaksengajaannya itu. Tahu apa lelaki itu buat? Lelaki itu berpura-pura menjadi pekak dan bisu, untuk menjaga maruah perempuan tersebut. Dan lelaki itu berpura-pura menjadi pekak dan bisu bukan hanya pada hari itu tetapi hingga perempuan itu meninggal dunia!

Ada sebuah lagi kisah dimana dua kekasih saling mencintai. Suatu hari lelaki itu kehilangan kekasihnya. Namun pada hari kekasihnya meninggal, sebelah mata lelaki itu tidak mengalirkan air mata. Lalu lelaki itu menutup sebelah matanya hingga dia meninggal dunia sebagai hukuman kerana tidak mengalir air mata!

Awak, saya tak layak bercakap soal pengorbanan jika awak hendak bandingkan saya dengan kedua-dua lelaki itu. Malah saya tak layak bercakap soal cinta pun. Namun jika saya diberi peluang, saya akan menjadi, cuba menjadi lelaki yang lebih baik dari kedua lelaki tersebut.

Awak, cinta itu penyakit dan ubatnya adalah perkahwinan. Saya berdoa agar Tuhan memelihara rasa ini, dan jika diizinkan-Nya, saya akan mengikat awak dengan perkahwinan. Kerana cinta sebelum kahwin banyak maksiatnya. Kerana itu saya ingin berjalan dihadapan awak dan memimpin awak sebagai seorang suami, di mana ada keberkatan dari-Nya bukan memimpin dan berjalan dihadapan awak sebagai sepasang kekasih di mana ada kemurkaan dari-Nya.

Mungkin ini ialah penghujung kepada surat ini. Dan surat ini tidak datang dengan rayuan mahupun pujukan. Saya tidak menulis surat ini untuk menjual rasa saya dan membeli rasa awak. Surat ini datang dengan penuh hormat, sekadar pernyataan terhadap sesuatu yang awak mungkin tak pernah sedari.

Maaf kerana menulis surat ini. Apa pun Tuhanlah yang memberi ilham dan menggerakkan naluri.

Eternal happiness. With you. Guide you. Protect you. Make you smile. Walk with you. To Jannah. Be on your side. Be your wonderwall. Come hell or high water. InsyaAllah. May Allah bless.


Ikhlas,
saya yang mencintai awak.
;’) beruntunglah ‘awak’ itu


p/s:..i just got it from my tumblr..


5 comments: